KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah setakat tengah hari ini telah meningkat kepada 5,725 orang daripada jumlah semalam, iaitu 3,929 orang dengan melibatkan 10 daerah terjejas.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan daerah Kota Marudu merupakan daerah yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi, iaitu sebanyak 2,944 orang (meningkat).
Disusuli dengan Pitas (767 mangsa) – meningkat; Telupid (507 mangsa) – meningkat; Lahad Datu (443 mangsa) – kekal; Kota Belud (308 mangsa) – meningkat; Paitan (280 mangsa) – meningkat; Beluran (196 mangsa) – meningkat; Sandakan (118 mangsa) – kekal; Beaufort (108 mangsa) – meningkat; dan Tongod (54 mangsa) – kekal.
Daripada keseluruhan jumlah mangsa banjir atau Penduduk Terjejas Banjir (PTB) dicatatkan, ia turut melibatkan sebanyak 1,939 jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) dari 73 kampung terjejas.
Bagaimanapun, dilaporkan tiada kemalangan jiwa berlaku dalam bencana banjir di Sabah setakat ini.
Manakala, 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 daerah terlibat telah diaktifkan termasuk 10 PPS di Kota Marudu; 1 PPS di Beaufort; 1 PPS di Tongod; 5 PPS di Telupid; 1 PPS di Sandakan; 4 PPS di Kota Belud; 3 PPS di Lahad Datu; 3 PPS di Beluran; 6 PPS di Paitan; dan 5 PPs di Pitas.