BEAUFORT: Lapan lokasi telah dikenalpasti untuk dilaksanakan pemasangan stesen Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, ini merupakan inisiatif bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam membantu penduduk serta pihak-pihak berkaitan mengesan risiko berlakunya banjir dengan lebih awal.
“Kita akan meletakkan di lapan lokasi PRABN ini dan ianya adalah untuk mendapatkan info yang lebih cepat dan juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
“InsyaAllah akan dilaksanakan pemasangan dalam tahun ini, kita lihat dalam situasi bencana alam ini, perkara seumpama ini perlu dipercepatkan supaya dapat mengesan lebih awal apa juga risiko banjir dan sebagainya.
“Ini sudah tentu dapat membantu pihak Kerajaan untuk membantu pada rakyat yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa meninjau kawasan banjir di daerah Beaufort di sini, semalam.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, inisiatif itu sekaligus turut dilihat mampu bergerak seiring dengan aplikasi Aduan Rakyat yang dicadangkan beliau baru-baru ini.
Katanya, ia adalah bagi memudahkan rakyat melaporkan sebarang kejadian bencana selain mempercepatkan respons agensi berkaitan dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.