PAPAR: Gara-gara RM20, seorang lelaki maut ditikam rakan sekerja bertubi-tubi dalam satu pergaduhan di rumah kongsi di kawasan ladang Kampung Ulu Lumagar, Bongawan di sini pada Khamis lalu, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 37 tahun yang juga pekerja di ladang kelapa sawit disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pemilik ladang berkenaan.
“Hasil siasatan awal, dikatakan berlaku pertengkaran mulut berpunca daripada mangsa yang bertanyakan suspek di mana wang RM20 yang diberikan isterinya untuk membeli ikan dan roti pada minggu lalu.
“Kerana menurut isteri mangsa, wang tersebut telah diberikan kepada suspek untuk membantunya membeli barang namun suspek tidak membelinya dan mengatakan bahawa kedai telah tutup tetapi dalam masa sama wang RM20 tidak dikembalikan kepadanya.
“Sebelum kejadian itu juga, dikatakan bahawa isteri mangsa pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek namun belum dibayar semula dan pertengkaran berlaku apabila suspek tidak mengaku serta tidak mahu memulangkan wang tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah beliau, ketika pertengkaran mulut berlaku, suspek bertindak masuk ke dalam rumahnya lalu mengambil pisau kecil dan terus menyerang mangsa.
“Suspek bertindak menikam tubuh mangsa berkali-kali dan mangsa berusaha masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan berdarah untuk mengambil senjata bagi mempertahankan diri namun akhirnya dia rebah di tanah berhadapan dengan rumahnya.
“Mangsa kemudian telah meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialami,” katanya.
Susulan kejadian itu, Kamaruddin berkata, pada jam 12 tengah hari Jumaat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Papar bersama unit siasatan jenayah berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Balai Polis Bongawan menahan suspek.
“Turut dirampas pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Suspek bersama senjata yang dirampas dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Desmond Tanggapan di talian 019-488 3322.