KOTA KINABALU: Konsep cekap dan pantas perlu sentiasa diterap dan diamalkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam pelaksanaan semua dasar, program dan perkhidmatannya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selepas dinaik taraf sebagai bandar raya, DBKK menggalas tugas dan tanggungjawab yang lebih besar bagi mengekalkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik.
Beliau berkata, ekspektasi penduduk Bandaraya Kota Kinabalu semakin kian mencabar dan sentiasa memerlukan perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien, terutama pada masa sekarang.
“Justeru, saya menyarankan agar konsep cekap dan pantas sentiasa diterapkan dan diamalkan dalam pelaksanaan semua dasar, program dan perkhidmatan yang direncanakan agar kesejahteraan rakyat di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi DBKK sempena Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.
Hajiji berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang progresif, DBKK telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran, menggalakkan inovasi, serta memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti kehidupan rakyat tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang mampan dan mesra rakyat.
“Saya berharap semua usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan Kota Kinabalu terus menjadi sebuah bandar raya yang memenuhi kehendak pengunjung terutama warganya,” katanya.
Hajiji berkata, dalam era globalisasi dan cabaran pembangunan bandar semakin kompleks, Kota Kinabalu perlu bersiap siaga dengan perancangan yang rapi untuk memastikan infrastrukturnya dapat menampung pertumbuhan pesat penduduk.
“Perlu diingat bandar raya ini juga merupakan destinasi pelancongan utama dan pintu masuk yang popular bagi pelancong yang melawat ke negeri ini.
“Justeru, DBKK perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan, keselamatan, dan kesejahteraan masyarakat perlu terus menjadi keutamaan,” tegasnya.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mengekalkan pencapaian tersebut dan menyokong apa jua usaha strategik DBKK yang bakal dilaksanakan.
Beliau berkata, antaranya ialah pelaksanaan inisiatif bandar pintar KK dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC), pemantapan Undang-Undang sedia ada, pemerkasaan sistem jalan dan pengangkutan awam, menaiktaraf kemudahan asas Bandaraya Kota Kinabalu melalui permohonan projek Rancangan Malaysia (RMK) ke-13 dan beberapa lagi inisiatif yang memberikan manfaat kepada penduduk Bandaraya Kota Kinabalu.
Hajiji juga mahu semua warga kerja DBKK terus mengekalkan budaya kerja yang cemerlang seiring dengan ekspektasi stakeholders dan kehendak warga Bandaraya Kota Kinabalu kerana mereka adalah wira atau ‘unsung hero’ bagi bandaraya Kota Kinabalu.
Katanya, usaha warga DBKK amat penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan Bandaraya Kota Kinabalu terus sejahtera, berdaya huni, mampan, berdaya saing dan lestari.