KUALA LUMPUR: KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bukan sahaja akan membuka peluang untuk meningkatkan ekonomi negara, malah boleh juga mengukuhkan imej negara di mata dunia.
Seri Paduka Baginda, bertitah VM2026 juga bakal melihatkan keunikan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.
“Oleh itu, semua pihak perlu berusaha untuk menjayakan kempen (VM2026) terutamannya dalam memastikan negara kita sentiasa bersih dan selamat.
“Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah tinggi,” titah Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Titah DiRaja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada hari ini (3 Februari) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Pada perkembangan lain, Seri Paduka Baginda menyeru kerajaan untuk terus membantu pekebun kecil, petani, penternak dan nelayan serta mengambil tindakan proaktif bagi memperkasa sektor pertanian, komoditi serta rantaian bekalan makanan.
“Agenda memperkasa ekonomi Bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat kerajaan mesti terus dilaksanakan.
“Kerajaan juga perlu terus komited untuk memberikan peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki rumah kediaman mampu beli, selain penyediaan infrastruktur asas, kemudahan kesihatan serta pendidikan hendaklah terus ditambah baik,” titah Seri Paduka Baginda.