TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh keputusan sama ada 13 remaja dibebas atau diarah membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, pada 22 Mac tahun lalu, lapor Metro.
Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan tarikh itu pada prosiding semakan status hujahan kesemua pihak yang dijalankan secara zoom, pagi tadi.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah memfailkan hujahan pada 24 dan 28 Januari lalu.
Beliau bagaimanapun memohon satu tarikh baharu untuk pihaknya memfailkan hujahan balas berikutan terdapat beberapa peguam bela mewakili tertuduh sudah memfailkan hujahan lewat.
Berikutan itu, mahkamah turut mengarahkan pihak pembelaan supaya menyediakan pernyataan saksi anak guam masing-masing pada pada tarikh berkenaan.
Pada 9 Disember lalu, pendakwaan menutup kes mereka selepas 25 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan penuh kes itu bermula 19 November lalu.
Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah pengarah dan warden kolej selain 10 pelajar (saksi mata) yang juga rakan sebilik mangsa serta penghuni asrama kolej terbabit.
Turut dipanggil pakar patologi, pakar kimia, pakar forensik dan pegawai polis pada prosiding yang mengambil masa selama 12 hari.
Selain Nur Nisla, pasukan pendakwaan turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Sementara, lapan daripada 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.