JOHOR: Seorang lelaki bertindak menyimbah minyak petrol ke atas kenderaan isterinya dan membakar kenderaan tersebut dalam kejadian di persimpangan berhampiran sebuah hospita swasta sekitar Jalan Tebrau, Johot Bahru, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian khianat itu dilakukan oleh lelaki berusia 25 tahun, manakala mangsa yang berusia 21 tahun mengalami kerugian bernilai RM90,000.
“Dipercayai punca kejadian adalah akibat perselisihan rumah tangga antara kedua-dua pasangan suami isteri itu.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat memandu kereta mewah jenis kenderaan pelbagai guna (MPV), dia menyekat kereta mangsa di persimpangan terbabit.
“Suspek seterusnya menyimbah petrol pada bahagian bonet dan menyalakannya dengan api sebelum memandu pergi. Mangsa bersama tiga lagi penumpang berjaya keluar daripada kereta dengan selamat,” katanya seperti yang dilaporkan The Star.
Mangsa kemudian telah membuat laporan polis selepas kejadian itu.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba Larkin, Wan Azri Wan Adannan berkata, 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Apabila kami tiba di tempat kejadian, kami mendapati kereta mangsa sudah terbakar 80 peratus,” katanya. –The Star