Advertisement

Bateri Penyimpanan Elektrik Berkapasiti Tinggi Mendarat Di POIC Lahad Datu  – Sabah News

LAHAD DATU: Terminal kontena POIC Lahad Datu hari ini menerima ketibaan kargo strategik yang dijangka membawa perubahan besar kepada kestabilan bekalan elektrik di Sabah.

Kargo ini terdiri daripada sistem penyimpanan tenaga bateri berskala utiliti (BESS) untuk Sabah Electricity.

Sebanyak 188 unit bateri dengan kapasiti keseluruhan 100 megawatt dan 400 megawatt-jam telah tiba, yang akan memperkukuhkan grid elektrik Sabah dan menstabilkan bekalan kepada pengguna.

Setiap bateri bersaiz 40 kaki dan seberat 30 tan, manakala unit tambahan lain seperti MVS, PCS, dan EMS dalam kontena 20 kaki masing-masing seberat 20 tan turut dihantar. 

Dengan kapasiti penyimpanan 100MW, ia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keperluan elektrik Sabah.

Oleh kerana kargo ini bersifat luar biasa, pakar telah menjalankan lawatan tinjauan bagi memastikan kesesuaian pelabuhan untuk pendaratan kargo tersebut.

Dalam tempoh dua bulan akan datang, semua bateri yang dibekalkan oleh MSR Green Energy Sdn. Bhd. (kontraktor EPCC untuk projek BESS Sabah Electricity) dan dihasilkan oleh Sungrow Power Supply Co. Ltd. dari China, akan tiba melalui POIC dan dipasang di tapak Sabah Electricity di PMU Dam Road.

BESS pertama di negeri ini dijangka beroperasi menjelang 30 Jun 2025.

Selain menjadi keperluan asas, bekalan elektrik yang stabil amat penting dalam usaha menarik pelaburan bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui perindustrian, yang diterajui oleh entiti milik kerajaan negeri seperti POIC Lahad Datu Sdn. Bhd.