Advertisement

Akauntan Kerajaan Negeri Mengaku Tidak Bersalah Atas 16 Pertuduhan Pemalsuan  – Sabah News

KOTA KINABALU: Seorang akauntan yang bertugas di Jabatan Bendahari Negeri Sabah mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.

Tertuduh, Sharin Lusiyau, 35, didakwa menggunakan dokumen palsu berupa resit tempahan hotel bagi tuntutan bayaran penginapan yang sebenarnya tidak ditempah atau digunakan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Bendahari Negeri Sabah antara Februari hingga Ogos 2023.

Hakim Jason Juga menetapkan tarikh perbicaraan pada 9 April 2025 selepas tertuduh menafikan semua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan RM2,000 deposit tunai dan RM10,000 tanpa deposit, serta seorang penjamin tempatan.

Selain itu, tertuduh diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM Sabah setiap dua bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam Martin Tommy Durasim dari firma MT Durasim & Co.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai dokumen palsu atau minimum RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.