Advertisement

Bersatu Sabah Desak Kerajaan Campur Tangan Kenaikan Tambang Feri Kudat-Banggi – Sabah News

KOTA KINABALU: Bersatu Sabah menggesa kerajaan persekutuan dan negeri mengambil tindakan segera terhadap kenaikan tambang feri Kudat-Pulau Banggi yang berkuat kuasa pada 1 Februari.

Ketua Wanita Bersatu Sabah, Rahimah Majid, mengecam tindakan pengendali feri menaikkan tambang secara unilateral tanpa perbincangan awam, memberi amaran bahawa langkah ini akan membebankan penduduk Banggi yang sudah sedia bergelut dengan cabaran ekonomi.

“Kenaikan tambang ini menjejaskan kehidupan rakyat, terutama keluarga berpendapatan rendah, pelajar, dan peniaga kecil yang bergantung kepada feri untuk pengangkutan harian dan keperluan asas,” katanya.

Tambang feri meningkat sebanyak RM3 bagi semua kelas, dengan kadar baharu RM34 untuk Kelas VIP, RM29 untuk Kelas Kedua, dan RM26 untuk Kelas Ekonomi. Pengendali feri menyatakan kenaikan ini berpunca daripada pelaksanaan gaji minimum RM1,700 serta peningkatan kos penyelenggaraan.

Rahimah menegaskan bahawa kenaikan ini bukan sahaja menyukarkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan jabatan kerajaan di Kudat, tetapi juga akan menyebabkan harga barangan di Banggi meningkat kerana kebanyakan bekalan diimport dari Kudat.

“Bersatu Sabah menggesa kerajaan memperkenalkan subsidi tambang 50 peratus untuk penduduk Banggi, sama seperti yang diberikan kepada perkhidmatan feri Labuan,” tegasny.

Rahimah turut meminta kerajaan persekutuan memasukkan laluan Kudat-Banggi dalam skim subsidi bahan api bagi mengurangkan kos operasi dan menstabilkan tambang.

“Pulau Banggi juga layak menerima subsidi seperti Labuan dan pulau-pulau lain. Perkhidmatan feri adalah nadi utama penduduk di sini,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri membuka laluan Kudat-Banggi kepada lebih banyak pengendali feri untuk meningkatkan persaingan dan menurunkan harga.

Selain itu, Rahimah mencadangkan inisiatif mewujudkan perkhidmatan feri berasaskan komuniti, diuruskan oleh koperasi tempatan bagi memastikan harga lebih terkawal.

Dalam pada itu, Bersatu Sabah akan melancarkan petisyen pada 8 Februari bagi mendesak kerajaan bertindak segera menangani isu ini.