BANDA ACEH, INDONESIA: Seorang wanita ditanam hidup-hidup oleh suaminya selepas berselisih dalam kejadian di Bener Meriah, Aceh baru-baru ini.
Memetik Sinar Harian, kes pembunuhan sadis itu terbongkar setelah penemuan mayat mangsa, Ayuni, 35, yang dikuburkan suspek, Edi Andani, 31, di kebun kopi miliknya.
Jurucakap pihak berkuasa, AKBP Tuschad Cipta Herdani memaklumkan mayat mangsa ditemui pada Khamis lalu dan memberkas suaminya.
“Lokasi itu sememangnya berada jauh dari kawasan penempatan penduduk kampung. Hanya seorang saksi mendengar teriakan mangsa meminta ampun pada hari kejadian,” katanya dalam satu program TV pada Selasa.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk memastikan sama ada mangsa sudah meninggal dunia atau tidak ketika tubuhnya dimasukkan ke dalam tong dan ditanam suaminya.
“Siasatan awal mendapati pasangan itu dipercayai terlibat dalam pertengkaran di rumah keluarga pelaku di Kampung Uning Teritit, Kecamatan Bukit, Kabupaten Bener Meriah pada 27 Januari lalu.
“Perselisihan antara mereka berlarutan selama beberapa jam hingga suaminya berasa sakit hati dan menyimpan dendam terhadapnya.
“Suspek turut membuat ‘persiapan’ termasuk menggali lubang dan memukul isterinya sebelum menanam mangsa hidup-hidup,” ujarnya lagi sambil menambah keputusan autopsi akan membongkar hal sebenar. – Agensi