KOTA KINABALU: Sebanyak 55 buah rumah setinggan sekitar daerah ini berjaya dirobohkan menerusi Operasi Perobohan Koloni Setinggan Siri 1/2025 baru-baru ini.
Polis Kota Kinabalu dalam kenyataan berkata, rumah-rumah yang dirobohkan ini didapati dibina secara haram dan tidak memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.
“Perobohan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi juga untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar.
“Operasi ini juga akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk membanteras jenayah, Pendatang Tanpa Izin (PTI), dadah, dan gejala sosial di daerah Kota Kinabalu,” katanya menerusi sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak PDRM IPD Kota Kinabalu komited untuk memastikan daerah ini bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah.
Operasi tersebut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), serta Jabatan Ketua Menteri (JKM).