Advertisement

Keadaan Jalan Raya Terabai, Sampai Bila Nyawa Akan Terus Melayang? – Steve Tuntut Perubahan Sistematik JKR – Sabah News

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun keras mengkritik keadaan infrastruktur jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik susulan kematian seorang penunggang motosikal akibat jalan berlubang berhampiran Jejambat Lido di Jalan Lintas pada Ahad lalu.

“Saya mewakili Majlis Belia KDCA ingin menyuarakan rasa kesal dan kecewa terhadap kejadian tragis ini. 

“Insiden ini seharusnya menjadi titik tolak kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi penyelenggaraan jalan raya untuk membuka mata serta menjadikan kejadian malang ini sebagai pengajaran yang serius,” kata Steve.

Beliau menegaskan bahawa kemalangan tersebut tidak boleh dianggap sebagai satu kejadian biasa, tetapi sebaliknya adalah cerminan kegagalan pihak bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Tragedi ini bukan sekadar satu kemalangan biasa, tetapi satu cerminan kelemahan kerajaan dalam memastikan infrastruktur awam berada dalam keadaan selamat.

“Rakyat semakin hilang kepercayaan apabila kejadian seperti ini terus berulang tanpa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang cuai,” tambah beliau.

Steve juga menyeru pihak berkuasa supaya tidak memandang ringan sebarang laporan atau aduan mengenai kerosakan jalan dan segera mengambil langkah proaktif dalam memastikan keadaan jalan raya lebih selamat.

“Sampai bila nyawa rakyat harus menjadi korban sebelum tindakan drastik dilakukan?” soalnya, menuntut perubahan yang lebih segera dan sistematik dalam penyelenggaraan jalan raya.