Advertisement

Kerajaan GRS-PH-Plus Berjaya Letak Sabah Di Landasan Tepat, Hasil Negeri Terus Meningkat – Sabah News

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Plus (GRS-PH-Plus) berjaya meletakkan negeri Sabah ke landasan yang tepat sepanjang tempoh hampir lima tahun mengemudi negeri di bawah bayu ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, hal ini boleh dibuktikan dengan melihat kepada pencapaian hasil pendapatan negeri yang terus meningkat setiap tahun. 

“Kerana apabila GRS mengambil tampuk pemerintahan negeri ini, keadaan ekonomi Sabah berada di tahap yang sangat teruk.

“Tetapi Alhamdulillah atas kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri bersama rakan-rakan pimpinannya, telah meletakkan Sabah di landasan yang tepat, yang betul, di mana tahun demi tahun hasil pendapatan negeri kita semakin meningkat sehingga mencipta sejarah.

“Belum pernah tercapai kita mendapat hasil sebanyak RM7 bilion selama ini dan ini merupakan sejarah sejak Sabah membentuk negara Malaysia bersama-sama dengan Sarawak dan Tanah Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Mesra Warga Emas, Taman Delima Kapayan 2025 anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kapayan di sini, pada Selasa.

Justeru itu, Nizam yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat mengingatkan kepada rakyat di negeri ini untuk terus mempertahankan kerajaan sedia ada yang berjaya meningkatkan ekonomi Sabah.

“Inilah yang harus kita pertahankan kerana petanda yang positif ini telah membolehkan kerajaan memberi banyak kemudahan dan kemajuan kepada rakyat.

“Sebagai contoh setiap perayaan-perayaan yang ada di Sabah diiktiraf sebagai perayaan rakyat Sabah. Bukan saja Hari Raya, malah Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Krismas dan sebagainya telah menjadi satu perayaan yang diberi peruntukan untuk dianjurkan dan disokong sepenuhnya oleh kerajaan.

“Begitu juga peruntukan kepada badan-badan bukan Islam, kepada sekolah-sekolah mubaligh, kepada kuil dan tokong-tokong, ditingkatkan tahun demi tahun sejak kita mula menjadi kerajaan pada tahun 2021.

“Kita telah tingkatkan peruntukan untuk semua ini kepada RM40 juta, naik lagi kepada RM50 juta, naik lagi kepada RM60 juta dan tahun ini juga dinaikan lagi kepada RM70 juta,” jelasnya.

Terdapat lapan parti komponen kini berada dalam GRS, termasuklah, Gagasan Rakyat, STAR, PBS, SAPP, LDP, PCS, USNO dan PHRS.

Manakala, komponen dalam PH pula adalah, UPKO, DAP, AMANAH dan PKR. Selain itu terdapat juga beberapa pemimpin dari UMNO yang turut menyokong kerajaan sedia ada ketika ini.