Advertisement

Lelaki Hilang Dilaporkan Maut, Jasad Ditemukan Terapung Di Perairan Kg Wak-Wak – Sabah News

Foto: Ihsan JBPM Sabah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di pantai pada awal pagi tadi maut dan jasadnya ditemukan terapung di perairan Kampung Wak-Wak sebentar tadi oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kehilangan itu pada jam 6.14 pagi.

“Bilik kawalan BBP Kota Kinabalu terima panggilan kecemasan mangsa dikhuatiri hilang di Pantai Kampung Kebagu, Kota Kinabalu.

“Menurut pengadu, beliau bersama mangsa (menantu) keluar mencari siput pada anggaran jam 8 malam, semalam dan mangsa disedari hilang pada jam 9.30 malam sejurus selepas aktiviti mencari siput selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Ordine, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seterusnya dijalankan dengan kaedah Water Surface oleh Pasukan PPDA menggunakan Bot Penyelamat di kawasan pantai di lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pihak kami telah menerima laporan dari PDRM, mangsa berusia 45 tahun berjaya dijumpai oleh pihak TLDM pada jam 11.27 pagi di kawasan perairan berhampiran Kampung Wak-Wak, sejauh 2.5 batu nautika dari jarak mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjutnya,” katanya lagi.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 pagi.