KOTA KINABALU: Daerah Kota Marudu kembali dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya sejak semalam.
Berikutan itu, Pegawai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu, Meirin Sugara berkata, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diisytiharkan dibuka jam 1.30 pagi tadi.
Katanya, PPS yang dibuka adalah di Dewan Kampung Nolotan.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Kota Marudu mengisytiharkan satu PPS dibuka di Dewan Kampung Nolotan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa terjejas banjir terus meningkat kepada 608 orang dari 162 keluarga di tiga daerah di Sabah setakat jam 8 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, antara daerah yang terlibat adalah di Beaufort; Kinabatangan dan Keningau.
Setakat ini sebanyak lima buah PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas di daerah terlibat.
Di Beaufort, PPS yang dibuka adalah di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon; Keningau di Dewan Koningau Majlis Daerah Keningau dan Dewan Masyarakat Keningau.
Manakala di Kinabatangan, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dan SK Bukit Garam.
Sementara itu, daerah Keningau dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 66 mangsa terjejas banjir melibatkan 16 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke PPS setakat jam 1 pagi tadi.
Dari jumlah itu, seramai 18 orang melibatkan lelaki dewasa; 15 perempuan dewasa; 12 kanak-kanak perempuan; tujuh kanak-kanak lelaki; enam warga emas lelaki; empat warga emas perempuan; dua orang kelainan upaya (OKU) lelaki dan masing-masing satu bayi lelaki dan perempuan.