PENAMPANG: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta lain dalam kejadian kemalangan di Jalan Penampang – Tambunan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, pihaknya menerima panggilan awam mengenai kes kemalangan jalan raya itu pada jam 5.30 pagi.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati motokar (kereta) yang dipandu oleh seorang lelaki 26 tahun warga tempatan dari arah Penampang telah berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal di Jalan Penampang – Tambunan berhampiran sebuah kedai perabot di sini.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa iaitu penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah Sammy, seorang mangsa lagi, iaitu pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah di bawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
Katanya lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Noor Ishamudin Ismail di talian 017-6703700.
“Pihak polisi ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” tegasnya.