Advertisement

Wujudkan Majlis AI Sabah Dan Perkasa Bahasa Inggeris, Fokus Utama KSTI Tahun Ini – Arifin – Sabah News

Arifin ketika ditemui media selepas Majlis Amanatnya di SICC hari ini…

KOTA KINABALU: Mewujudkan Majlis Kecerdasan Buatan (AI) negeri Sabah dan memperkasa Bahasa Inggeris antara fokus utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) bagi tahun ini.

Menterinya, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, berkenaan pewujudan AI, beliau sudah mendapat taklimat daripada kumpulan pakar di Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

“Kita akan menubuhkan AI dan kemudian memperkasa Bahasa Inggeris dan ini juga kita akan minta Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian untuk memperincikannya mengikut acuan kita sendiri. 

“Saya sudah mendapat taklimat daripada seorang pakar atau kumpulan pakar daripada UMS yang juga dimanfaatkan oleh negeri-negeri yang lain di mana beliau banyak memberikan maklumat dan taklimat.

“Dan hari ini beliau juga telah membentang berhubung AI dan kita akan fokus berhubung dengan keistimewaan negeri Sabah seperti produk-produk Sabah termasuk alam semula jadi, budaya yang unik dan semuanya ini kita akan fokus untuk menjadi salah satu daripada landasan untuk kita memperkasa AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Kementeriannya di Pusat Konsvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Tambah Arifin, Memorendum Persefahaman (MoU) dengan pihak UMS akan diadakan dalam masa terdekat bagi memulakan fokus pewujudan AI tersebut.

“Kita akan bersama-sama dengan UMS dulu, MoU kita akan adakan dan ini baru peringkat awal dan saya yakin kita boleh melaksanakannya. Selepas itulah, apabila sudah ada, kita akan wujudkan Majlis AI negeri Sabah,” jelasnya.

Mengulas mengenai pemerkasaan Bahasa Inggeris, Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, pihaknya akan mula mengundang tokoh-tokoh berkaitan pada hujung bulan Februari ini. 

“Saya akan dapatkan nasihat kepakaran mereka, khususnya daripada Jabatan Pendidikan sendiri, kemudian penasihat Kementerian Pendidikan. Mereka ada formula yang baik saya lihat dan saya sudah dapat taklimat mengenainya.

“Kemudian kita undang UMS, Universiti Teknologi MARA (UITM), Institut Pendidikan Guru (IPG) yang ada pakar mereka masing-masing.

“Ini semua kita akan kumpul bersama termasuk Institute For Development Studies (IDS) Sabah, mereka akan memberikan idea, input untuk memperkasa Bahasa Inggeris berdasarkan acuan Sabah,” jelasnya.

Dalam pada itu, selain dua fokus utama yang disebut Arifin berkata kementeriannya akan turut memberi penekanan kepada memperkasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).