Advertisement

Dulu Hanya Berniaga Di Tamu, Kini Miliki 10 Cawangan D’bundle Mania – Sabah News

KOTA KINABALU: Bermula dengan berniaga di tamu, kini memiliki 10 cawangan D’Bundle Mania, itulah kisah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kedai D’Bundle Mania yang menjual pakaian terpakai terkenal di Sabah, lapor The Malaysia Press.

Pemiliknya yang juga CEO, Haris Beddu Rahim, 45, berkata, keuntungan tidak menjadi keutamaan dalam perniagaannya tetapi nilai berkongsi rezeki yang dijadikan tali pengukur.

“Saya memilih untuk membuka perniagaan yang boleh membawa rezeki kepada orang lain.

“Ia kerana membuka perniagaan sudah pasti dapat memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukan.

“Jangan berniaga hanya untuk keuntungan tetapi harus menyelitkan nilai pahala iaitu dapat berkongsi manfaat dengan orang lain,” ujarnya yang kini mempunyai lebih 400 pekerja.

Tambah beliau, kegagalan tidak jadi penghalangnya untuk terus berusaha menjadi seorang yang berjaya.

“Saya cuba untuk belajar tapi tiada rezeki, akhirnya saya pergi bekerja pun tiada rezeki dan saya nampak platform terbaik adalah perniagaan.

“Saya ada sedikit pengalaman dalam perniagaan dan saya pun memanfaatkannya.

“Saya tidak terus berjaya saya ‘try and error’ dan sampai satu tahap saya mencapai kestabilan dalam perniagaan saya,” kongsinya ketika ditemui wartawan TMP di Program Himpunan Usahawan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi nasihat untuk para usahawan iaitu ‘siapapun dan apapun keadaan kita jangan takut dengan masa depan kita’.

Selain daripada perniagaan menjual pakaian terpakai, Haris juga mempunyai rangkaian perniagaan lain iaitu Thoyyiban Pasti Halal Fresh Mart dan Kedai Kopi Mania Cafe di Kota Kinabalu.