Advertisement

Tawau Tuan Rumah Sukan Sabah (SAGA) XI Oktober Ini – Sabah News

KOTA KINABALU: Tawau bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan Sabah (SAGA) XI yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 17 Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Elron Angin, berkata temasya dwi-tahunan itu akan diadakan di Tawau buat kali ketiga selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada edisi ketujuh SAGA tahun 2015 dan edisi ketiga pada 2007.

“Kali ini, SAGA XI akan disertai oleh 30 pasukan dengan penyertaan tambahan dari daerah Sook serta Paitan yang kini menjadi daerah penuh.

“Sebanyak 25 acara sukan akan dipertandingkan berbanding 22 acara dalam SAGA X 2023. Dengan pertambahan ini, ia secara langsung akan meningkatkan jumlah pingat yang bakal dimenangi para atlet,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau 2025.

Menurut Elron, penganjuran SAGA XI juga bertujuan mengenal pasti bakat atlet muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kami berharap penganjuran kali ini dapat mencungkil bakat atlet yang boleh dilatih untuk bersaing bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun, dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor.