Advertisement

Wanita Cuba Cederakan Budak Lelaki 10 Tahun Guna Pisau Ditahan Di Tawau  – Sabah News

TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8, Jalan Apas, Tawau, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila ibu saudara mangsa berusia 43 tahun dihubungi oleh ibu mertuanya kira-kira jam 6.10 petang yang menyatakan anak saudara mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian tangan. 

“Mangsa mengalami luka di bahagian tangan kirinya ketika cuba mengelak daripada ditikam oleh suspek, namun mangsa berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tawau,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurut ACP Jasmin, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan jenayah (BSJ), IPD Tawau menahan seorang suspek wanita warga tempatan berusia 43 tahun di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8, Jalan Apas, Tawau kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa dan motif sebenar serangan masih dalam siasatan.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya,” katanya.

Tambahnya, beliau turut meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak Polis.