
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, pewujudan Live Hub TikTok Shop di Penampang adalah pelengkap kepada Manifestonya untuk menjadikan kawasan ini sebagai Hab Keusahawanan berteraskan fasiliti digital.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap pengwujudan kemudahan itu di kawasan Penampang akan memberi manfaat kepada para usahawan mikro, khususnya di negeri ini.
“Ketika saya diminta untuk bertanding di Parlimen Penampang pada tahun 2022, salah satu manifesto saya ialah saya ingin membangunkan tempat ini sebagai satu hab Keusahawanan yang disokong oleh fasiliti digital.
“Oleh itu saya merakamkan terima kasih kepada TikTok Shop dan TEKUN Nasional dan juga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana menjadi pelengkap kepada manifesto saya.
“Ini adalah antara satu daripada beberapa yang kita telah sempurnakan di Penampang,” katanya ketika berucap merasmikan Live Hub TikTok Shop X TEKUN yang pertama di Malaysia, di Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Penampang, hari ini.
Ewon berharap bukan hanya usahawan di Penampang yang akan memanfaatkan studio dan Pejabat TEKUN ini tetapi juga usahawan sekitar dan seluruh Sabah.
“Ini baru permulaan, saya berharap kesemua 12 studio TikTok Shop yang rancang oleh TEKUN Nasional dan TikTok Shop dapat direalisasikan dan lebih banyak studio seperti ini akan diwujudkan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menyeru dewan-dewan perniagaan Kadazandusun, dewan perniagaan Cina dan Bumiputera dapat menjalin kerjasama dengan TikTok Shop bagi memastikan kemudahan ini dapat dimanfaatkan lebih ramai ahli perniagaan.
“Saya berharap dewan-dewan perniagan ini boleh diubah suai agar ahli-ahli mereka boleh menggunakan kemudahan seumpama ini bagi membantu perniagaan mereka berkembang dalam era digital,’ katanya.
Ewon berkata, trend perniagaan kini telah berubah ke arah digital dan penggunaan platform seperti TikTok Shop bukan sekadar mempromosi atau menjual untuk pasaran tempatan tetapi berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
“Walaupun masih memerlukan premis untuk berniaga tetapi lebih daripada itu, kita memerlukan platform yang lebih mudah, platform digital seperti TikTok Shop untuk memasarkan produk-produk bukan hanya kepada pengguna dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menjalankan lebih banyak kursus berkaitan keusahawanan digital, terutamanya bagi membantu usahawan memanfaatkan kemudahan TikTok Studio di Penampang.
“INSKEN banyak bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan pelbagai agensi lain. Saya berharap mereka juga dapat merangka kursus untuk membantu usahawan mengoptimumkan penggunaan studio ini untuk meningkatkan jualan mereka.
“Dengan sokongan penuh KUSKOP, saya berharap kerjasama ini dapat mengangkat martabat dan pencapaian usahawan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke satu tahap yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.