Advertisement

Sindiket Seludup Minyak Berputih Mata, Kegiatan Dihidu Awal Maritim Malaysia – Sabah News

KUDAT: Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat merampas lebih kurang 6,000 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina di perairan Kudat, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pada sekitar pukul 4 pagi, pihaknya telah menerima maklumat daripada Unit Risikan Zon Maritim Kudat berkenaan kegiatan itu.

Bertindak atas maklumat tersebut, aset ronda Zon Maritim Kudat, Bot ADAL 04 yang pada ketika itu sedang menjalankan rondaan OP SEJAHTERA /OP TIRIS /OP PLUTO TIMUR dan OP CEGAH PATI segera diatur gerak ke lokasi.

Pada jarak lebih kurang 2.8 batu nautika barat laut Pulau Mandi Darah, bot suspek telah berjaya dikesan iaitu sebuah pam bot sedang bergerak perlahan serta mencurigakan dalam keadaan gelap.

“Semasa bot suspek cuba dihampiri, dua individu bertindak nekad terjun ke kawasan laut cetek dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran. Bot suspek telah berjaya ditahan dan diperiksa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan membawa muatan 30 tong berwarna biru berisi minyak petrol dianggarkan lebih kurang 6000 liter serta enam tong gas berwarna kuning.

“Kesemua barang terbabit dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap ataupun diseludup ke negara jiran berhampiran,” jelas beliau.

Bot serta barang rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Marina, Kudat untuk siasatan selanjutnya.

Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM60 ribu manakala kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa muatan Barang Kawalan tanpa permit sah.