Advertisement

Bung Mahu Sistem Bancian Kemiskinan Sabah Diperhalusi – Sabah News

Datuk Seri Bung Moktar Radin, ADUN Lamag…

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menggesa pihak berkuasa untuk menambah baik sistem bancian kemiskinan di Sabah bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) atas inisiatif melaksanakan bancian data kemiskinan yang menggunakan indikator tambahan khusus bagi negeri itu.

“Langkah ini amat penting untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan lebih tepat dan berkesan.

“Namun, dalam situasi semasa di mana rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi, sistem bancian ini perlu terus diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari semalam.

Menurut ADUN Lamag itu, jumlah rakyat Sabah yang layak menerima bantuan jauh lebih ramai berbanding data semasa, dan oleh itu, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan.

“Sistem bancian tidak boleh hanya tertumpu kepada mereka yang telah berdaftar dalam e-Kasih semata-mata, tetapi juga perlu merangkumi golongan hampir miskin dan mereka yang berada dalam jurang pendapatan yang menyebabkan mereka tersepit antara kategori kelayakan bantuan,” tegasnya.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa memperluas skop data bagi mengenal pasti isi rumah berpendapatan rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman, selain memastikan sistem yang lebih inklusif untuk mereka yang terkesan akibat kenaikan harga barang dan tekanan ekonomi.

Tambahnya, kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu ditingkatkan supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih menyeluruh tanpa birokrasi yang melambatkan proses.

“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan tiada rakyat Sabah yang tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya menjadi hak mereka.

“Dengan penambahbaikan ini, saya percaya lebih ramai rakyat yang benar-benar memerlukan dapat dibantu dan nasib mereka akan lebih terbela,” katanya.