Advertisement

Lelaki Warga Asing Positif Dadah Ditahan, Syabu Dirampas – Sabah News

Foto: Ihsan PDRM Tawau…

TAWAU: Polis memberkas seorang lelaki warga asing dalam satu operasi yang dijalankan sekitar kawasan Kampung Kurnia, Batu 4, Jalan Apas, Tawau, pada petang Selasa lalu.

Operasi yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2.00 petang itu, hasil risikan dan pemantauan terhadap aktiviti yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, hasil pemeriksaan terhadap lelaki tersebut, pihak polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.15 gram yang disimpan dalam poket seluar.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (met) dan amphetamine (amp).

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis terus berusaha dalam membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurutnya, pihak polis juga menyeru orang ramai untuk bekerjasama dalam memerangi penyalahgunaan dadah dan melaporkan sebarang maklumat yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Operasi yang lebih agresif dengan kerjasama dari semua pihak akan diteruskan dan berharap masyarakat terus berkerjasama dengan pihak Polis demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat,” tambahnya.