KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih 10,000 liter petrol di perairan Kudat, Selasa lalu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata kejayaan itu hasil risikan yang mengesan aktiviti tersebut sekitar jam 1 pagi.
“Bot KILAT 48 digerakkan ke lokasi dan menemui dua bot mencurigakan bergerak perlahan dalam gelap. Ketika dihampiri, kedua-duanya memecut ke kawasan paya bakau, sebelum individu terlibat melarikan diri,” katanya, dalam satu kenyataan, semalam.
Pemeriksaan mendapati 51 tong petrol tanpa dokumen sah, dipercayai untuk diseludup ke Filipina.
Bot dan barang rampasan bernilai RM70,000 dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.