TAWAU: Seorang Pegawai Imigresen tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau Selasa lalu atas 17 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM14,250, pada 2023.
Tertuduh, seorang wanita berumur 37 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berkenaan untuk diri sendiri tanpa balasan yang dipindahkan dari akaun seorang lelaki yang berperanan menguruskan warga asing melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau antara Januari hingga Mac 2023 dan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi semua pertuduhan.
Manakala pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab@lahab.