Advertisement

JBPM Sabah Rai Pegawai Cemerlang Dalam APC 2024 – Sabah News

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meraikan kecemerlangan warganya dalam Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun yang berlangsung di Hotel Raia hari ini.

Seramai 39 pegawai menerima Pingat Perkhidmatan Bomba, 83 pegawai dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 21 pegawai bomba bantuan menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji atas prestasi cemerlang dan sumbangan mereka sepanjang tahun 2024. Dua pegawai turut menerima pengiktirafan atas khidmat setia selama 30 tahun.

Pengarah JBPM Negeri Sabah, PKPjB Jainal @ Zainal Madasin, berkata pengiktirafan itu adalah bukti komitmen tinggi dan semangat dedikasi setiap pegawai.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar penghormatan, tetapi juga satu amanah besar yang perlu dipikul.

“Ia menjadi dorongan untuk terus meningkatkan kecemerlangan dan menjadi contoh terbaik kepada rakan sekerja lain. Saya berharap pencapaian ini akan membakar semangat semua pegawai untuk terus berkhidmat dengan cemerlang demi negara,” katanya.

Beliau turut menekankan kejayaan program Intervensi Wellness Hub yang membantu pegawai menguruskan berat badan, di mana 71 pegawai berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh enam bulan.

Sepanjang tahun 2024, JBPM Sabah telah menerima 9,087 panggilan kecemasan, meliputi 3,648 panggilan kebakaran, 5,167 panggilan penyelamatan dan 253 panggilan tugas khas.

Beberapa program kemasyarakatan turut dianjurkan bagi memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha seluruh pasukan. Setiap pencapaian membuktikan kekuatan JBPM Sabah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” tambahnya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah JBPM Malaysia, Dato’ Teknologis Nor Hisham Mohammad.