Advertisement

Perbubas Desak Pengundi Semporna Tolak Warisan Demi Pembangunan – Sabah News

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bajau Semporna Bumiputera (Perbubas), Mansor Santiri, menggesa penduduk Semporna untuk memilih kerajaan semasa dalam pilihan raya negeri akan datang bagi mengelakkan kemunduran daerah itu.

Beliau berkata, sepanjang 26 bulan Parti Warisan memerintah, tiada usaha dibuat untuk membangunkan Semporna sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

“Rakyat Semporna patut membiarkan beliau (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bersara. Bantuan wang tunai sahaja tidak cukup untuk pembangunan jangka panjang,” katanya.

Mansor turut menyentuh isu pendatang tanpa izin yang tidak ditangani dengan serius serta kegagalan merealisasikan janji menghubungkan Pulau Bum Bum ke tanah besar.

“Semporna terkenal dengan Pulau Sipadan dan Boheydulang, tapi infrastrukturnya daif. Penempatan di Kg Bangau-Bangau berselerak dan tidak terurus, mencacatkan pemandangan bagi pelancong,” katanya.

Beliau juga menegur kelemahan majlis daerah dan masalah asas seperti kekurangan tapak pelupusan sampah, jalan sesak, dan gangguan air yang kerap berlaku.

Mansor yakin calon GRS-PH berpotensi mencabar pengaruh Warisan di Semporna jika mempunyai dasar yang tegas.

“Warisan masih bermain dengan isu lama seperti MA63. Hak rakyat Sabah harus ditunaikan, bukan hanya dijanjikan,” katanya.

Beliau memuji usaha kerajaan Madani dalam membantu Sabah, termasuk menangani isu air di UMS dengan cepat.

Mansor menegaskan bahawa hampir 2,000 ahli Perbubas, kebanyakannya anak muda, akan mengundi demi perubahan tersebut.