Advertisement

Kerajaan Negeri Nafi Dakwaan Syarikat Esteel Tangguh Pelaburan Di SOGIP – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian (MIDE) menegaskan bahawa dakwaan mengenai Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel) menangguhkan pelaburan mereka di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) adalah tidak berasas.

Menterinya, Datuk Phoong Jin Zhee berkata, khabar angin penangguhan pelaburan itu yang mendakwa kehilangan keyakinan terhadap kerajaan negeri semasa adalah tidak benar dan tidak mencerminkan realiti sebenar kemajuan projek itu.

Tambahnya, pelaksanaan pelaburan Fasa 1 oleh syarikat tersebut di Sabah berjalan mengikut perancangan dengan kemajuan seperti, Pelan Pembangunan (DP) pembinaan kilang pembuatan keluli hijau ini telah diluluskan oleh Majlis Daerah Sipitang; laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi kerja-kerja tanah (earthwork) telah diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS);

“Seterusnya kerja-kerja siasatan tanah (soil investigation) bagi tapak pembinaan kilang Fasa 1 telah dilaksanakan; pelaksanaan Full Mission Shiphandling Simulation (FMSS) yang merupakan salah satu komponen Marine Traffic Risk Assessment (MTRA) bagi pembangunan jeti juga telah dilaksanakan; kerja-kerja siasatan tanah di kawasan laut untuk pembangunan jeti sedang dijalankan; terma Rujukan (Term of Reference) bagi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah disiapkan untuk dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan.

“Kerajaan Negeri juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Lesen Pengilang (FML) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (Akta 156) bagi pelaburan Fasa 1 telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 24 Januari 2025.

“Kerajaan Negeri Sabah amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan lesen pengilang ini yang telah dimohon sekian lama. Keputusan ini mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh serta memajukan sektor pembuatan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Jumaat.

Tambah Phoong, kelulusan ini bukan sahaja membuka peluang baharu dalam pembangunan industri, tetapi juga membantu meningkatkan daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri terus komited dalam merealisasikan pelaburan ini, khususnya dalam memenuhi keperluan utama syarikat Esteel, termasuk bekalan gas asli. Komitmen ini dizahirkan melalui Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian bagi pembekalan gas asli antara PETRONAS, Sabah Energy Corporation (SEC), dan Esteel, yang dijadualkan berlangsung pada 28 Februari 2025.

“Berdasarkan maklumat terkini yang dikemukakan oleh syarikat Esteel, kerja-kerja penyediaan tapak dan seterusnya pembinaan kilang dijangka bermula pada bulan Mei 2025. Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa syarikat ini menangguhkan pelaburan kerana hilang keyakinan terhadap Kerajaan Negeri semasa adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya sekali lagi.

“Saya, bersama pihak kementerian dan Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC), secara berterusan menjalinkan libat urus dengan pihak pengurusan tertinggi Esteel bagi menyelaraskan serta memudahcara pelaburan mereka di Sabah. Usaha ini jelas membuahkan hasil apabila Esteel terus menunjukkan komitmen berterusan terhadap pelaburan mereka di negeri ini.

“Sebagai bukti komitmen syarikat Esteel untuk meneruskan pelaburan di Sabah, Perjanjian Penyewaan Tanah bagi pelaburan Fasa 2 & Fasa 3 di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah ditandatangani pada 31 Disember 2024. Ini membuktikan keyakinan syarikat pelabur tersebut terhadap kestabilan dan sokongan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pelaburan berimpak tinggi ini,” tegasnya.