KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan undi pos bagi rakyat Sabah yang menetap di luar negeri, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Menurut beliau, hak mengundi adalah asas demokrasi, namun kos penerbangan yang tinggi dan kekangan logistik menjadi penghalang utama kepada rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia, Sarawak, dan luar negara untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
“Ramai yang mungkin terpaksa melepaskan hak mereka untuk mengundi kerana kos perjalanan yang membebankan, terutamanya ribuan mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di universiti dan kolej di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat Disember 2024, Sabah mencatatkan seramai 1.69 juta pengundi berdaftar, dengan lebih 55 peratus terdiri daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Mustapha menegaskan bahawa generasi muda perlu diberi peluang untuk menentukan hala tuju negeri ini berdasarkan pandangan dan keperluan mereka.
Beliau turut membangkitkan isu harga tiket penerbangan yang melonjak tinggi ketika musim pilihan raya, mencecah sehingga RM1,700, yang menurutnya membebankan rakyat.
Walaupun terdapat subsidi kerajaan bagi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi, beliau berpendapat penyelesaian jangka panjang masih diperlukan.
“Sistem undi pos telah berjaya diperluaskan kepada rakyat Malaysia di luar negara seperti Singapura dan selatan Thailand dalam PRU15. Maka, prinsip yang sama wajar diterapkan dalam PRN Sabah,” tambahnya.
Sebagai tambahan, Mustapha turut mencadangkan agar SPR meneroka kaedah pengundian lain yang lebih mudah diakses, seperti pengundian atas talian dengan sistem keselamatan yang ketat atau mewujudkan pusat pengundian strategik di negeri lain.
“Dengan lebih 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung Malaysia sahaja, langkah ini akan memastikan mereka dapat menunaikan hak mengundi tanpa halangan kewangan atau logistik,” tegas beliau.