Advertisement

Sabah Electricity Seru Masyarakat Prihatin Bahaya Aktiviti Kecurangan Elektrik – Sabah News

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) terus menasihatkan orang ramai untuk membuat permohonan bekalan elektrik melalui saluran yang sah dan menghindari melakukan pemasangan elektrik secara curang.

Ketua Pegawai Operasi SE Ir. Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata mengganggu infrastruktur elektrik akan menimbulkan bahaya keselamatan yang serius kepada orang ramai dan sambungan yang tidak sah boleh mengakibatkan litar pintas, kebakaran dan juga renjatan elektrik.

“SE turut berharap agar kerjasama erat daripada pihak berkuasa dan jabatan kerajaan berkaitan untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan terhadap usaha membanteras aktiviti-aktiviti kecurangan elektrik yang membawa maut kepada pelaku.

Beliau juga berkata SE telah melaksanakan ratusan operasi membanteras aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram untuk mengekang dan mengawal aktiviti tersebut.

“SE melalui media cetak dan elektronik, tidak jemu-jemu menyuarakan mengenai bahayanya aktiviti seperti itu bukan sahaja kepada pelaku penyambungan haram tetapi juga kepada harta benda dan orang awam.

“Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat oleh penghuni penempatan setinggan ini meningkatkan risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, orang ramai serta pemimpin masyarakat dinasihatkan agar menyalurkan maklumat segera jika mengesan perbuatan penyambungan haram di kawasan masing-masing untuk tindakan segera pihak SE.

“Untuk 2025 ini, SE akan pergiatkan aktiviti operasi bersepadu ini di seluruh negeri Sabah dan juga akan memastikan mereka yang terlibat dengan kecurangan elektrik ini akan dihadapkan ke pengadilan dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang bersesuaian,” katanya lagi.