KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sumber rapat SPRM mengesahkan penahanan empat pegawai terbabit dan sudah mendapatkan perintah reman ke atas mereka di Mahkamah Putrajaya semalam.
Menurut sumber, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha untuk lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a Akta SPRM.
“Kami memohon supaya pihak SPRM diberikan ruang untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.