KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson maut selepas terhumban ke dalam longkang sedalam tiga meter dalam kejadian kemalangan dengan Proton Saga di Jalan 88 Marketplace, Lorong Kepayan 1, Taman Kepayan pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.26 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 4 kilometer dan tiba pada jam 1.32 pagi.
“Penunggang motosikal telah terhumban ke dalam longkang sedalam tiga meter dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu Proton Saga, lelaki 37 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba seterusnya bertindak mengangkat mayat mangsa penunggang motosikal menggunakan strecher dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.09 pagi.