Advertisement

Peranan Media Penting Untuk Kemajuan Negara – Azizah – Sabah News

KOTA KINABALU: Peranan wartawan dan media massa kekal relevan dalam membantu mendorong kemajuan dan pembangunan negara kata Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Dalam ucapannya pada Majlis Apresiasi Media, Azizah menegaskan bahawa media memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat melalui penyampaian maklumat yang positif, membina, dan berintegriti.

Di tengah perkembangan teknologi yang pesat, beliau berkata, media bertanggungjawab untuk melaporkan berita secara jujur, amanah, dan bertanggungjawab.

“Wartawan memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan menjadi benteng menangkis penyebaran berita palsu yang mudah tersebar di media sosial,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan media arus perdana dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman jenayah siber serta menyebarkan mesej keharmonian sosial, menghalang penyebaran fitnah, hasutan, dan elemen kebencian yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Azizah turut mengakui cabaran yang dihadapi industri media dalam situasi ekonomi semasa, termasuk penutupan beberapa organisasi media utama. Namun, beliau menegaskan bahawa sumbangan media tetap relevan dalam pembangunan negara.

Beliau juga menggesa pengamal media untuk terus mencari pendekatan kreatif, termasuk menampilkan lebih banyak laporan berunsur human interest dan kisah-kisah unik yang mampu menarik perhatian masyarakat dan mengekalkan minat pembaca terhadap berita semasa.

“Kerjaya wartawan memerlukan komitmen tinggi, kesabaran, dan pengorbanan masa. Saya yakin rakan-rakan wartawan kita berpengalaman dan arif dalam menyampaikan laporan yang dekat di hati audien,” katanya.

Azizah turut merakamkan penghargaan kepada semua wartawan dan pengamal media yang bekerjasama dalam menyampaikan maklumat berkaitan IDS kepada rakyat, sambil berharap mereka terus diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan peranan penting ini.