KUALA LUMPUR – Sejumlah 3,670 laman sesawang bersifat lucah disekat dari 2022 sehingga 15 Feb lepas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata bagi tempoh sama, 1,993 kandungan media sosial bersifat lucah diturunkan penyedia platform berdasarkan permohonan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Tindakan pemantauan proaktif oleh MCMC serta kerjasama dengan penyedia perkhidmatan terus dipertingkatkan bagi memastikan iklan bahan lucah di media sosial dapat dikenal pasti, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil disekat dan diturunkan dengan kadar segera,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai polisi dan langkah kementerian menangani iklan bahan lucah di media sosial, tabloid dan media massa dalam talian.
Beliau berkata MCMC komited memastikan keselamatan dan etika penggunaan media dalam talian tidak melanggar peruntukan Akta 588 serta undang-undang lain yang berkaitan.
Di bawah Seksyen 33 Akta 588 yang berkuat kuasa mulai 11 Feb 2025, penyebaran kandungan bersifat lucah bagi tujuan komersial jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua duanya, dan denda selanjutnya RM10,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Menjawab soalan tambahan Halimah mengenai pasukan khas kementerian bagi memantau kandungan bersifat lucah, Fahmi berkata MCMC mempunyai pasukan khusus yang menerima aduan orang ramai di samping melakukan tindakan penguatkuasaan berdasarkan maklumat atau pemantauan pihak MCMC.
“Dengan adanya penguatkuasaan Keselamatan Dalam Talian kelak, kita akan tegaskan kepada platform-platform media sosial…mereka juga mempunyai satu tanggungjawab untuk mengelak daripada iklan-iklan, bahan-bahan yang tidak dibenarkan daripada ditayangkan.
“Ini antara sebab kenapa kita perlu melesenkan platform-platform media sosial serta mendapatkan kerjasama mereka,” katanya.
Selain itu, Fahmi turut mengingatkan semua pihak termasuk Ahli
Parlimen supaya tidak menyebarkan bahan yang tidak ditentusahkan kesahihannya, kerana penyebaran bahan fitnah juga merupakan kesalahan di sisi undang-undang.
Beliau berkata orang ramai perlu mengambil pengajaran atas insiden-insiden penyebaran fitnah sebelum ini.
Sebagai contoh Fahmi berkata satu waran tangkap dikeluarkan hakim Mahkamah Sesyen Sepang semalam, terhadap seorang individu selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang individu pada 11 malam tadi selepas waran tangkap dikeluarkan.
– BERNAMA