
SANDAKAN: Buku Inspirasi Wanita Negeri Sabah akan didokumentasikan dan diarkibkan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta sumbangan kaum wanita dalam pembangunan negara.
Penerbitan buku ini bertujuan mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, politik, kesihatan dan seni.
Ahli Dewan Negara, Senator Anna bell @ Suzieana Perian, menyatakan kekagumannya terhadap pencapaian wanita yang berjaya dalam kerjaya masing-masing, sekaligus membuktikan bahawa mereka setanding dengan kaum lelaki sebagai pemimpin dan pemangkin perubahan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Gala Nite Wanita Inspirasi 2025 di Sandakan pada Ahad (23 Feb).
Dalam majlis itu, Senator Anna bell turut melancarkan Buku Jilid 2: 100 Wanita Inspirasi, yang kemudian diserahkan kepada Persatuan Wanita Aspirasi Negara (WAN).
Selain itu, turut dilancarkan Buku Antologi Cerpen Melukis Rindu dan Antologi Puisi Balada Kata karya Khaty Suzanna Tati.
Pengerusi Iksnita Sabah, Datuk Dg. Khatijah Datu Bachtiyal, menjelaskan bahawa buku Wanita Inspirasi 2025 dan Wanita Inspirasi 2024 merupakan kompilasi kisah serta pencapaian luar biasa wanita dalam bidang keusahawanan, komuniti, kesenian, kesihatan dan kepimpinan.
Sebanyak 200 wanita inspirasi daripada Jilid 1 dan 2 telah digabungkan dalam penerbitan ini, memperkukuh pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam masyarakat.