KOTA KINABALU: UMNO-BN Sabah komited untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai parti dominan di negeri itu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menjadi suntikan semangat buat jentera parti di negeri ini.
“Kenyataan beliau bukan sekadar aspirasi, tetapi satu seruan perjuangan yang mesti kita sahut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan,” kata Suhaimi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa UMNO-BN Sabah pernah menjadi tunjang politik yang membawa kestabilan dan pembangunan kepada rakyat negeri Sabah.
Menurutnya, dengan kekuatan jentera parti dan sokongan rakyat, mereka yakin dapat mengembalikan kegemilangan tersebut.
Suhaimi turut menyifatkan PRN-17 sebagai detik penting untuk memperkukuhkan akar umbi dan meyakinkan rakyat bahawa UMNO-BN masih relevan dalam membela kepentingan mereka.
“Jentera parti di seluruh Sabah sedang giat digerakkan, dan saya yakin dengan kesatuan serta semangat juang yang tinggi, UMNO-BN akan kembali sebagai kuasa utama politik Sabah,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong parti untuk bangkit bersama, memanfaatkan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan, dan hala tuju yang jelas bagi memastikan UMNO-BN kembali menjadi parti dominan di Sabah.
“Kita tidak akan berundur, kita tidak akan goyah, kerana perjuangan ini adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” tegas Suhaimi.