KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akur keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap individu yang terbabit perhimpunan tanpa notis kebenaran di hadapan Menara Kinabalu, Likas, Sabah pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Sabah pada 10 Februari lalu.
“Hari ini, AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas kedua-dua penganjur perhimpunan terbabit.
“PDRM akur dan menerima baik keputusan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis membuka dua kertas siasatan berkaitan perhimpunan yang diadakan di hadapan persimpangan keluar Jalan PPNS 1 di pusat pentadbiran negeri Sabah.
Dalam perhimpunan itu, terdapat dua pihak yang menyokong dan menentang pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kegagalan menghantar notis pemberitahuan yang lengkap kepada pihak polis.
Razarudin berkata, polis menjalankan siasatan secara adil dan saksama berlandaskan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Ia memperuntukkan sama ada memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
“Kerajaan juga sudah memutuskan meminda dan menambah baik Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) selaras dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Media semalam melaporkan AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap individu yang terbabit dalam perhimpunan tanpa notis kebenaran di hadapan Menara Kinabalu, Likas, pada 31 Disember lalu.
Keputusan itu dibuat selepas penelitian semula dilakukan terhadap kes yang disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan AGC semalam, ia memaklumkan prosiding terhadap individu berkenaan dihentikan selaras dengan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
Disember lalu, kira-kira 200 peserta perhimpunan Gempur Rasuah Sabah anjuran Suara Mahasiswa berkumpul di hadapan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum berarak ke Menara Kinabalu.