KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik rancangan oleh institusi pengajian tinggi terkemuka India, Indian Institute of Technology Madras (IITM), untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah.
“Sabah, melalui University College Sabah Foundation (UCSF), juga sedang meneliti kemungkinan menjalin kerjasama akademik dengan IITM,” kata Hajiji, yang juga Canselor UCSF.
Beliau berkata demikian semasa bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif IITM Global Engagement, Dr Thirumalai Madhavnarayan dan Dekan IITM Global Engagement, Prof Raghunathan Remgaswamy.
Mereka turut disertai oleh Pengerusi Petra Group dan Sekhar Foundation, Datuk Seri Dr Vinod Sekhar dalam pertemuan di Menara Kinabalu, semalam.
Dalam pertemuan tersebut, Ketua Menteri telah diberi taklimat oleh delegasi bahawa IITM sedang meneroka kemungkinan menubuhkan kampus Asia pertamanya di luar India di Sabah.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan IITM untuk membangunkan ekosistem inovasi global, dengan Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama di Asia selepas kejayaan penubuhan kampus antarabangsa pertamanya di Zanzibar, Afrika, yang dilancarkan dua tahun lalu.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Ahli Lembaga Pengarah Uni YS Sdn Bhd dan Pengerusi UCSF, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari; serta Naib Canselor UCSF, Datuk Dr Rafiq Idris.