RANAU: Seorang lelaki berusia 33 tahun dilaporkan mengalami kecederaan selepas Proton Iswara dipandunya terbabas sendiri ke bahu jalan dalam satu kejadian kemalangan di Kampung Kibas pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.11 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota bomba dari BBP Ranau bersama agensi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 7 kilometer dan tiba pada jam 2.19 pagi.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki terlibat telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan mengalami kecederaan.
“Mangsa telah diberikan rawatan awal seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk di bawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi operasi seterusnya ditamatkan pada jam 2.39 pagi.