SEMPORNA: Taman-Taman Sabah dengan kerjasama WWF-Malaysia serta sokongan Pejabat Daerah Semporna telah menganjurkan Pertukaran Pembelajaran Serantau bagi memupuk perkongsian ilmu antara komuniti pesisir dari Malaysia, Indonesia, dan Filipina.
Kawasan Marin Sulu-Sulawesi, yang merupakan pusat biodiversiti marin dunia, menjadi sumber makanan, pekerjaan, dan ekonomi kepada lebih 40 juta penduduk pesisir.
Namun, komuniti itu berdepan ancaman seperti perubahan iklim, kemusnahan habitat, serta kekurangan akses kepada pembiayaan mampan dan ilmu pengetahuan dalam usaha pemuliharaan.
Menurut Mohd Azmie Anuar Minduru, wakil Pejabat Daerah Semporna, usaha pemuliharaan hanya boleh dicapai melalui kerjasama dan pertukaran ilmu antara pihak berkepentingan.
Dr. Maklarin Lakim, Pengarah Taman-Taman Sabah, turut menekankan kepentingan perkongsian pengetahuan dalam memperkukuh pemuliharaan marin.
Lebih 50 peserta termasuk penduduk komuniti pesisir, pihak berkuasa tempatan, dan organisasi pemuliharaan berkongsi pengalaman dan kejayaan dalam melindungi ekosistem marin menggunakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi sepanjang program tiga hari itu.
Selain sesi pembentangan, peserta turut mengunjungi komuniti Larapan, Omadal, dan Mabul serta melawat tapak penetasan penyu dan ketam kelapa di Taman Pulau Sipadan.
Pertukaran pembelajaran ini juga menjadi asas kepada penubuhan Hab Pembelajaran dan Inovasi Komuniti Semporna, yang akan menghubungkan komuniti pesisir dalam membentuk rangkaian pembelajaran dan kerjasama untuk pemuliharaan alam sekitar.