KOTA BELUD: Jabatan Tanah dan Ukur telah mengambil tindakan terhadap aktiviti pengambilan dan mengorek pasir darat secara haram dalam kawasan tanah bergeran terletak di Kg. Kesapang, Kota Belud pada 26 Feb 2025 (Rabu) lalu.
Pengarahnya, Datuk SR. Bernard Liew Chau Min memaklumkan, tindakan segera telah diambil setelah menerima aduan daripada orang awam dan mengarahkan dua pasukan anggota penguatkuasa untuk membuat siasatan dan risikan sebelum melaksanakan serbuan ke tapak tersebut.
Pengusaha yang terlibat menjalankan kegiatan mencuri pasir pada waktu siang dan mengorek serta mengangkut keluar pasir dari kawasan itu tanpa sebarang kebenaran atau lesen untuk menjalankan aktiviti sebegitu di tapak tersebut.
“Risikan dan intipan di kawasan aduan sudah dijalankan selama dua minggu di kawasan tersebut.
“Semasa serbuan sektitar pukul 12.30 tengah hari, pasukan penguatkuasa kami telah merampas 1 unit jentera kaut Ekskavator Hitachi ZAXIS 200 dan 1 unit lori 12 tan dengan muatan pasir darat.
“Walau bagaimanapun tiada sebarang tahanan kerana pekerja terlibat berjaya melarikan diri,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata pihaknya juga telah membuat satu laporan polis mengenai serbuan dan sitaan itu.
“Satu Kertas Siasatan akan dibuka sebaik semua maklumat yang perlu diperolehi oleh Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa dan tindakan sewajarnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan-peruntukan dalam Ordinan Tanah Sabah, Bab 68.
“Pasukan penguatkuasa jabatan ini akan terus memantau aktiviti pengambilan tanah, pasir atau batu secara haram melibatkan semua kawasan termasuk tanah kerajaan, rizab kerajaan atau tanah bergeran di seluruh Sabah.
“Kami tidak akan teragak–agak untuk mengambil tindakan terhadap mana–mana pengusaha yang ingkar dan didapati melanggar undang–undang,” tegasnya.