KUALA LUMPUR – Satu fenomena luar biasa bakal melanda Negeri di Bawah Bayu apabila Stacy, bintang pop sensasi tanah air, mengumumkan konsert solo mega pertamanya, AKU STACY, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Jun 2025, anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment, dan ditaja khas oleh U Mobile.
Dikenali dengan persembahan bertenaga, vokal mantap dan gerak tari yang memukau, Stacy berjanji untuk memberikan sebuah pengalaman konsert yang epik dan penuh kejutan.
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, AKU STACY adalah sebuah penghormatan khas buat peminat yang telah setia menyokong perjalanan seninya sejak awal kariernya lagi.
Dengan gabungan lagu-lagu hit, produksi bertaraf antarabangsa, serta elemen kejutan yang bakal dipersembahkan, Stacy bersedia untuk mencipta sejarah di negeri kelahirannya sendiri.
“Konsert ini merupakan durasi persembahan terpanjang saya, dan saya tidak sabar untuk membawa kejutan-kejutan khas buat penonton di Sabah.
“Dalam 17 tahun berada dalam industri ini, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk bertahan dan terus berkembang sebagai seorang penghibur. Saya ingin mengekspresikan segala emosi, seni, dan kreativiti saya melalui konsert ini,” kata Stacy dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Bagi Stacy, setiap lagu yang bakal dipersembahkan mempunyai nilai sentimental tersendiri.
“Saya percaya setiap lagu membawa makna tersendiri dalam kehidupan kita, sama ada melalui lirik atau memori yang berkait dengannya.
“Saya ingin menyajikan persembahan yang lebih besar dari segi skala muzik dan tarian, termasuk elemen ‘pop culture’ seperti yang pernah saya bawakan dalam program ‘The Hardest Singing Show’ melalui lagu ‘Asmaradana’.
“Ini adalah momen istimewa buat saya, kerana saya dapat membawa persembahan sebegini ke tanah kelahiran saya sendiri,” ujar Stacy.
Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai penghargaan buat peminat yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya dan berharap peminat akan memberikan sokongan penuh terhadap konsert ini.
“Saya harap mereka semua dapat memberikan sokongan dan kepercayaan yang tulus terhadap konsert AKU STACY. Ini adalah konsert solo berskala besar pertama saya di tanah air sendiri, dan saya mahu menjadikannya satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Ini juga adalah peluang saya untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyokong saya tanpa henti sejak dulu lagi,” tambah Stacy.
Butiran lanjut mengenai konsert AKU STACY akan diumumkan dalam masa terdekat. Peminat disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy untuk mendapatkan maklumat terkini, dan ikuti juga saluran U Mobile untuk konten-konten di belakang tabir serta pengalaman konsert yang eksklusif.