PENAMPANG: Lima blok rumah pekerja terbakar di Penampang Baru petang tadi dan menyebabkan dua mangsa, iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan dikejarkan ke hospital akibat melecur.
Dua mangsa tersebut masing-masing berusia 63 tahun, (lelaki warga emas) dan mangsa perempuan berusia 59 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada jam 1.10 petang.
“Lapor kebakaran melibatkan lima blok rumah pekerja jenis tidak kekal dengan setiap blok 38 pintu telah terbakar 90 peratus dengan anggaran keluasan setiap pintu 20×15 kaki.
“Terdapat dua orang mangsa dilaporkan terlibat mengalami cedera parah melecur dan mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pasukan Bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan 2 aliran 300 kaki 3 pancutan sumber air dari Water Tanker.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 2.20 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.