Advertisement

Junz Wong ‘Menyalak’ Tentang Projek Yang Tidak Wujud – Nizam – Sabah News

KOTA KINABALU: Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong mengenai kewujudan perjanjian air RM1.5 bilion adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat, tegas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

“Junz Wong ‘menyalak’ tentang projek yang tidak wujud. Dia hanya menuduh tanpa asas, dan kenyataannya adalah fitnah dengan niat jahat.

“Projek ini baharu di peringkat cadangan, tanpa komitmen atau kelulusan dari Kerajaan Negeri. Surat Niat (LoI) hanya dikeluarkan untuk kajian, bukan untuk menganugerahkan sebarang kontrak. Hakikatnya, syarikat yang terlibat belum lagi menyelesaikan kajian mereka, dan tiada keputusan akhir yang dibuat.

“Surat niat untuk kajian tersebut adalah dibiayai oleh syarikat sendiri dan tidak melibatkan dana awam,” jelasnya menerusi satu kenyataan media di sini, pada Isnin.

Tambah Nizam yang juga ADUN Apas, demikian dengan potensi pembiayaan daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) ini hanya satu kemungkinan jika cadangan tersebut diluluskan.

“Setakat ini, lantikkan SCC sebagai pemberi pembiayaan Inisiatif Pembiayaan Persendirian atau Private Finance Initiative (PFI) belum dibuat kerana projek ini perlu diluluskan oleh kerajaan terlebih dahulu.

“Junz Wong membuat tuduhan palsu dan sekali lagi merosakkan kredibilitinya sendiri.

“Beliau seharusnya mendedahkan ‘dokumen kukuh’ yang dikatakannya telah diperolehi dan mengesahkan kesahihannya dan bukan membuat sebarang kenyataan dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat,” jelasnya lagi.

Nizam berkata, tindakan tegas akan diambil dan Junz Wong harus bertanggungjawab atas kenyataannya yang palsu, tidak berasas dan berniat jahat.