Advertisement

Presiden KDM, Peter Anthony Masuk Penjara, Palsukan Dokumen Kontrak UMS 11 Tahun Lalu – Sabah News

KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun berkait kes memalsukan dokumen.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhir bekas menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes yang dikaitkan dengan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lalu.

Memetik MKini, Panel tiga hakim dipengerusikan oleh hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan dianggotai hakim Zaini Mazlab dan Azmi Ariffin dilaporkan sebulat suara mengekalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Di bawah undang-undang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu akan kehilangan kerusi DUN yang disandangnya, dan tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang yang dijangka hujungtahun ini.