KOTA BELUD – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah telah menganjurkan Program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025, dengan Kota Belud sebagai destinasi kedua program ini hari ini.
Seramai 50 kanak-kanak dari Kota Belud dibawa membeli pakaian Raya di Golden Dragon City, Kota Belud, bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli baju dan kasut raya.
Program ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan serta memberi kegembiraan kepada kanak-kanak menjelang perayaan.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, menyatakan bahawa program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu golongan yang memerlukan.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan merangkap ADUN Pintasan Datuk Fairuz Renddan, Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin, bersama pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan tempatan, serta wakil KTC dan UPPM.
Dalam sesi sidang media, Datuk Fairuz mengucapkan terima kasih kepada KTC dan UPPM Sabah kerana menganjurkan program ini yang membantu golongan yang memerlukan dalam membuat persiapan untuk Hari Raya. Beliau berharap agar acara seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Datuk Dexter pula gembira kerana program ini berlangsung dengan lancar dan kanak-kanak kelihatan ceria, dan ada antara mereka menyertai program ini buat kali pertama. Pihak KTC juga mengambil inisiatif untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.