KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang pengurus projek sebuah syarikat disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM800,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 10 pagi Khamis semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2014 hingga 2018.
“Suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan negeri membabitkan satu projek pembinaan jalan di negeri ini dengan nilai berjumlah kira-kira RM800,000 sedangkan kerja tersebut tidak dibuat sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tambah beliau, suspek dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan suspek akan dituduh hari ini (Jumaat) di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.