Advertisement

Membakut Dan Beaufort Dilanda Banjir Susulan Hujan Berterusan Sejak Semalam – Sabah News

MEMBAKUT: Daerah Membakut telah diisyitiharkan sebagai kawasan bencana banjir susulan kejadian hujan berterusan sejak Jumaat.

Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Daerah Membakut merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut, Ibrahim Terki menerusi satu kenyataan pada pagi hari ini.

Ekoran itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di daerah ini.

“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Membakut, adalah dengan ini saya selaku Pengerusi JPBD Membakut mengisytiharkan bahawa satu PPS dibuka bermula jam 7 pagi ini, iaitu PPS Dewan Kesenian Islam Membakut.

“PPS ini diaktifkan setelah pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) tidak selamat untuk didiami,” katanya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, daerah Beaufort turut terjejas banjir sejak kelmarin dan membawa kepada pembukaan satu PPS, iaitu PPS PPK Selagon yang kini menempatkan 418 mangsa banjir setakat jam 8 pagi tadi. 

Semalam, Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa hujan berterusan tahap waspada dijangka akan terus berlaku di kawasan pedalaman Sabah termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.

Manakala hujan sama turut dijangka berlaku di kawasan Pantai Barat Sabah termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran serta Wilayah Persekutuan Labuan.